Melancong kini lebih mudah dan menyeronokkan berbanding dahulu. Dengan adanya penerbangan tambang rendah, tawaran pelancongan yang menarik, serta kemudahan tempahan secara dalam talian, kita dapat merancang percutian seterusnya dengan lebih lancar dan selesa.

alt=" "

 

Namun, seiring dengan pertumbuhan industri pelancongan, kesedaran kita terhadap kesan alam sekitar juga semakin meningkat. Jadi, persoalannya:

Bagaimana kita boleh menjelajah dunia hari ini sambil memastikan destinasi-destinasi indah yang kita nikmati kekal terpelihara untuk generasi akan datang?

Ramai antara kita gemar menikmati suasana dan keindahan alam semula jadi — daripada pemandangan yang menenangkan hinggalah kepada pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Namun dalam keseronokan itu, timbul juga rasa tanggungjawab untuk melindungi tempat-tempat indah ini agar kekal terpelihara.

Berikut ialah beberapa cara untuk menjadikan percutian anda lebih mesra alam tanpa perlu mengorbankan keseronokan atau semangat pengembaraan

Pertimbangkan untuk percutian inap (staycation)

Tidak semua percutian memerlukan kita ke luar negara atau menaiki kapal terbang. Kadangkala, percutian paling bermakna ialah yang dekat dengan rumah — lebih jimat dan lebih lestari.

Staycation, iaitu percutian ringkas tanpa meninggalkan kawasan tempat tinggal, semakin popular. Sama ada menginap di hotel berdekatan atau inap desa tempatan, ia cara mudah untuk berehat sambil mengurangkan jejak karbon.

Daripada taman yang tenang hingga ke kafe hipster yang belum pernah anda singgah, kawasan sekitar anda mungkin menyimpan pelbagai permata tersembunyi. Kalau mahukan suasana berbeza, pandulah seketika ke pantai, hutan atau kawasan rekreasi semula jadi yang menenangkan jiwa.

Dengan menyokong pelancongan tempatan, anda bukan sahaja membantu komuniti setempat, malah berpeluang menghargai keindahan tempat sendiri. Dan yang paling seronok — tiada masalah jet lag!

Elakkan barangan sekali guna semasa bercuti

Antara keseronokan melancong ialah membeli-belah di pasar tempatan dan mengumpul cenderamata unik. Untuk menjadikan perjalanan anda lebih lestari, bawa beg guna semula atau beg tote — lebih tahan lasak, mudah dibawa, dan jauh lebih mesra alam berbanding beg plastik nipis.

seorang wanita sedang mempertimbangkan untuk tidak menggunakan barangan pakai buang

Selain itu, jangan lupa bawa botol air atau cawan kopi boleh isi semula. Menikmati minuman kegemaran atau kekal hidrat tidak semestinya memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Menurut laporan daripada United Nations Environment Programme (UNEP) tahun 2025, sebanyak satu juta botol plastik digunakan setiap minit di seluruh dunia. Lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun, dan separuh daripadanya adalah untuk kegunaan sekali sahaja. Malangnya, kurang daripada 10 % yang berjaya dikitar semula.

Memilih barangan boleh guna semula semasa melancong ialah antara langkah paling mudah untuk menyokong pelancongan hijau dan mengurangkan sisa plastik yang semakin membimbangkan.

Pilih penginapan yang mesra alam

Tempat anda menginap boleh mempengaruhi pengalaman perjalanan dan kesan terhadap alam sekitar. Pilihlah hotel atau inap desa mesra alam yang mempunyai pensijilan hijau, menggunakan tenaga boleh diperbaharui, atau menyokong inisiatif seperti program kitar semula, kelengkapan penjimatan air, serta penggunaan produk tempatan atau organik.

Jika pilihan mesra alam terhad, anda masih boleh menyumbang kepada kelestarian dengan amalan mudah seperti menutup paip semasa menggosok gigi, mandi dengan lebih cepat, dan mematikan lampu serta peralatan elektrik sebelum meninggalkan bilik. Tabiat kecil ini mungkin nampak remeh, tetapi jika diamalkan secara kolektif, ia mampu menjimatkan sumber yang berharga dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Baca jugaManjakan Diri Anda Tanpa Memecahkan Tabung

Amalkan prinsip ‘Tinggalkan Tanpa Jejak’

Amalkan prinsip “Tinggalkan Tanpa Jejak” ke mana sahaja anda pergi —  sama ada ke taman, pantai atau laluan mendaki. Prinsip ini mengajak kita menjaga alam sekitar dengan tidak meninggalkan kesan negatif sepanjang perjalanan.

seorang lelaki membersihkan sampah semasa percutiannya

 

Antara langkah mudah yang boleh diamalkan termasuk membersihkan kawasan yang digunakan, tidak membuang sampah merata-rata, dan jika mampu, mengutip sisa yang ditemui di sepanjang laluan. Membawa beg sampah kecil juga memudahkan anda menguruskan sisa dengan lebih bertanggungjawab.

Walaupun nampak remeh, amalan mudah ini memberi impak besar dalam memastikan keindahan semula jadi destinasi kekal terjaga untuk dinikmati oleh pengunjung lain. Dengan cara ini, anda bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar, malah menjadi contoh yang baik kepada pelancong lain.

Baca jugaBerbelanja Secara Bijak Pada Musim Perayaan

Melancong bukan hanya tentang tempat yang dituju, tetapi tentang setiap pilihan yang kita buat sepanjang perjalanan. Daripada cara kita bergerak, tempat kita menginap, hinggalah kepada barangan yang kita beli—semuanya memberi kesan kepada alam sekitar.

Musim cuti ini, mari kita melancong dengan lebih bijak. Pilihlah pengalaman yang mesra alam, sokong komuniti tempatan, dan tinggalkan kesan yang baik kepada bumi yang kita kongsi bersama.

Dengan kesedaran dan tindakan kecil, kita boleh menjadikan dunia ini lebih indah untuk generasi akan datang.