Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh perlindungan sosial dan mempertingkat simpanan persaraan rakyat Malaysia merentas semua lapisan pendapatan.
Belanjawan ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk membina masa depan kewangan yang lebih inklusif dan mampan, khususnya bagi mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal seperti pekerja gig, penghantar bungkusan atau makanan, dan individu bekerja sendiri.
Berikut adalah antara penambahbaikan KWSP yang perlu anda beri perhatian dan cara untuk memanfaatkannya.
i-Saraan Plus: Sokongan lebih besar untuk pekerja gig dan bekerja sendiri
Salah satu perubahan utama ialah pelancaran i-Saraan Plus, skim caruman sukarela baharu untuk pekerja gig, pemandu e-hailing, penghantar bungkusan atau makanan (juga dikenali sebagai p-hailing), karyawan bebas, dan rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.
Melalui skim ini:
- Anda akan menerima caruman padanan daripada kerajaan sehingga RM600 setahun.
- Had maksimum caruman padanan sepanjang hayat ialah RM6,000.
- Skim ini adalah penambahbaikan kepada program i-Saraan sedia ada yang menawarkan padanan sehingga RM500 setahun (dengan had sepanjang hayat RM5,000).
Inisiatif ini mencerminkan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang simpanan antara pekerja formal dan tidak formal, dengan memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam membuat persediaan menghadapi hari persaraan.
Baca juga:Â Capai Kebebasan Kewangan Sebagai Pekerja Gig
Perluasan Skim i-Suri
Bagi suri rumah yang berdaftar di bawah pangkalan data e-Kasih, kelayakan program i-Suri kini dilanjutkan sehingga usia 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum negara. Perubahan ini memberi lebih masa dan peluang kepada wanita yang menguruskan rumah tangga sepenuh masa untuk membina simpanan KWSP mereka sendiri dan menikmati jaminan kewangan jangka panjang.
Fleksibiliti melalui Akaun Sejahtera: Pilihan Perlindungan Kesihatan
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh perlindungan sosial, ahli KWSP dijangka dapat menggunakan simpanan daripada Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan perlindungan asas kesihatan atau perubatan melalui insurans atau takaful.
Pilihan ini bertujuan menyediakan perlindungan asas kepada ahli berpendapatan rendah, sambil mengekalkan matlamat utama simpanan persaraan. Langkah ini turut menyokong aspirasi MADANI untuk meningkatkan kualiti hidup dan memperluas akses kepada penjagaan kesihatan kepada semua rakyat Malaysia.
Had Pengeluaran Haji dinaikkan
Berita baik buat ahli yang merancang untuk menunaikan ibadah Haji — had pengeluaran KWSP bagi tujuan ini kini dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000. Dengan kelonggaran ini, ahli boleh menggunakan sebahagian daripada simpanan Akaun Sejahtera untuk memenuhi impian hidup ke tanah suci, sambil terus memelihara dana persaraan jangka panjang mereka.
Apa yang anda (ahli) boleh lakukan sebelum pelaksanaan inisiatif Belanjawan 2026?
Semak kelayakan anda
- Jika anda bekerja sendiri atau terlibat dalam ekonomi gig, luangkan masa untuk memahami syarat dan kelayakan i-Saraan di laman web KWSP. Dengan cara ini, anda akan lebih bersedia untuk mendaftar sebaik sahaja inisiatif ini dilancarkan
Mencarum secara konsisten
- Mulakan perancangan simpanan bulanan anda dan fikirkan bagaimana anda boleh memanfaatkan insentif padanan kerajaan sebanyak RM600 di bawah i-Saraan Plus. Simpanan kecil tetapi konsisten mampu membawa perubahan besar dalam jangka masa panjang.
Ikuti perkembangan terkini
- Pantau pengumuman rasmi KWSP untuk mendapatkan garis panduan terperinci apabila skim baharu ini dilancarkan pada tahun 2026 — termasuk langkah pendaftaran, kaedah caruman, dan maklumat terkini tentang kelayakan.
Seimbangkan keperluan kesihatan dan persaraan
- Jika anda bercadang menggunakan Akaun Sejahtera untuk perlindungan kesihatan atau perubatan, buat kajian awal tentang pelan yang berpatutan serta benar-benar diperlukan. Dengan cara ini, anda dapat menjaga kesihatan tanpa menjejaskan simpanan persaraan anda kelak.
Untuk maklumat lanjut dan senarai penuh inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026, sila layari Portal Belanjawan Kementerian Kewangan Malaysia. Langkah-langkah ini digariskan bagi memperkukuh perlindungan sosial dan membantu rakyat Malaysia membina masa depan kewangan yang lebih terjamin.


