search
Suggestions :
Personal Finance
Early Retirement Starts With These 5 Financial Habits
Personal Finance
5 Reasons Why You Need Health Insurance
Personal Finance
Budget-Friendly School Holiday Activities (For Parents Who Want Fun Without the Financial Stress!)
EN

Sharifah Norashikin

Date: 31 Jul 2025

“Saya sangka hidup akan jadi lebih tenang selepas bersara. Tapi yang saya rasa… sunyi, keliru dan perlahan-lahan, simpanan saya mula menyusut.”

Begitulah kisah Warren Schmidt dalam filem About Schmidt. Beliau baru sahaja bersara daripada sebuah syarikat insurans, lengkap dengan pencen dan rumah milik sendiri. Namun, tidak lama selepas itu, isterinya meninggal dunia. Anak perempuannya pula semakin menjauh dan hubungan mereka tidak lagi rapat. Hidup yang disangka tenang berubah menjadi kosong.

Kisah ini mungkin fiksyen. Tapi emosi yang dirasai — sunyi, keliru, tidak bersedia — itu realiti yang mungkin anda juga hadapi suatu hari nanti. Mari kita lihat bagaimana kos hidup selepas bersara — walaupun telah dirancang — boleh memberi kesan besar kepada simpanan anda, terutamanya di Malaysia, di mana kos sara hidup terus meningkat.

5 Kos Tersembunyi Selepas Bersara di Malaysia

 

Berapakah anggaran kos bersara di Malaysia?

Ramai menyangka persaraan adalah tempoh berehat — tidak perlu bangun awal, fikir soal kerja, dan berbelanja besar kerana anak-anak sudah dewasa.

Namun hakikatnya, kos hidup tidak berhenti walaupun gaji sudah tiada. Menurut Belanjawanku 2024/2025, perbelanjaan bulanan minimum bagi pesara di Lembah Klang adalah seperti berikut:

Anggaran kos bersara di Malaysia

Sumber: Belanjawanku 2024/2025

  • RM3,390 sebulan bagi pesara yang tinggal bersama pasangan
  • RM2,690 sebulan bagi pesara yang tinggal bersendirian

Nota: Kos ini berbeza mengikut lokasi. Belanjawanku menyediakan panduan perbelanjaan untuk beberapa bandar utama di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, rujuk Belanjawanku 2024/2025.

Jika dikira untuk tempoh 20 tahun persaraan, jumlahnya boleh mencecah antara RM650,000 hingga RM1.3 juta — dan itu hanya untuk gaya hidup sederhana, belum termasuk kos luar jangka seperti kesihatan, kecemasan, atau inflasi.

Cara semak kecukupan persaraan anda?

Menurut Laporan Tahunan KWSP 2023:

  • Hampir 50% pencarum yang mencapai umur 55 hanya mempunyai kurang daripada RM10,000
  • Hanya 18% berjaya mencapai sasaran minimum RM240,000 menjelang umur 55

Ini bermakna, majoriti pencarum hanya mempunyai simpanan yang cukup untuk bertahan kurang daripada setahun jika berbelanja mengikut kos sebenar hidup selepas bersara.

5 kos tersembunyi selepas bersara di Malaysia yang anda perlu tahu

1. Kos perubatan & penjagaan kesihatan

Semakin meningkat usia, semakin bertambah keperluan kesihatan kita:

  • Rawatan berkala di klinik atau hospital
  • Pengambilan ubat harian
  • Penggunaan alat bantuan kesihatan seperti tongkat atau alat bantu pendengaran

Premium insurans kesihatan juga meningkat seiring usia. Semakin lewat kita mula, semakin tinggi kosnya atau lebih malang, kita mungkin langsung tidak layak dilindungi. Perancangan awal boleh membawa perubahan besar.

Tip: Ambil insurans atau takaful semasa masih sihat dan mula bina tabung kesihatan dari awal.

Baca juga: 5 Sebab Kenapa Anda Perlukan Insurans Kesihatan

2. Belanja harian

Walaupun sudah bersara, belanja harian tetap ada.  Ramai pesara mendapati perbelanjaan mereka masih tinggi, malah ada yang lebih tinggi daripada sebelumnya, khususnya untuk keperluan asas seperti:

  • Barangan dapur
  • Ubat-ubatan asas
  • Keperluan rumah

Tip: Gunakan aplikasi Belanjawanku untuk jejak perbelanjaan dan rancang bajet persaraan dengan realistik.

3. Tanggungan keluarga

Persaraan tidak semestinya bermakna anda bebas daripada tanggungan kewangan — untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga tersayang. Ramai pesara masih menyara:

  • Anak yang belum bekerja
  • Cucu di bawah jagaan sepenuh masa
  • Perbelanjaan yuran pengajian, belanja bulanan atau kecemasan keluarga

Situasi begini mungkin tidak dirancang, tetapi memang biasa berlaku. Memberi bantuan kewangan kepada keluarga itu satu perkara yang mulia.  Namun, penting untuk berbelanja mengikut kemampuan dan pastikan simpanan persaraan anda dilindungi terlebih dahulu.

Tip: Bincangkan harapan dan keperluan bersama ahli keluarga dari awal supaya sokongan yang dirancang lebih mampan dan berkesan.

4. Kecemasan kewangan

Persaraan bukan bermakna anda bebas daripada perkara tidak dijangka dalam hidup. Walaupun anda sudah bersara, situasi luar jangka masih boleh berlaku pada bila-bila masa, seperti:

  • Sakit mengejut
  • Kerosakan rumah yang memerlukan belanja besar
  • Kematian insan tersayang

Tanpa dana kecemasan, satu kejadian sahaja boleh memberi kesan besar kepada simpanan persaraan anda.

Tip: Sediakan dana kecemasan sekurang-kurangnya untuk menampung perbelanjaan hidup selama 3 — 6 bulan agar anda sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka.

Baca juga: Tabung Kecemasan: Kenapa Anda Perlukannya

5. Kos tidak dijangka & inflasi

Walaupun anda merancang dengan teliti, bajet persaraan tetap boleh bocor tanpa disedari. Inflasi perlahan-lahan menyusutkan kuasa membeli anda. Antara kos tersembunyi yang sering berlaku termasuk:

  • Baik pulih atau penyelenggaraan rumah
  • Bantuan kewangan luar jangka kepada ahli keluarga atau kenalan
  • Kenaikan harga barang secara beransur-ansur

Kos-kos ini boleh menyebabkan perbelanjaan bulanan anda melebihi bajet yang dirancang. Bajet yang fleksibel  membantu anda mengurus perbelanjaan dengan lebih baik apabila harga meningkat.

Tip: Buat bajet yang fleksibel dan gunakan kaedah 50/30/20 untuk mengurus perbelanjaan dengan lebih berkesan.

Baca juga: Kaedah 50/30/20: Cara Bijak Urus Bajet Anda

Cara merancang persaraan di Malaysia: Langkah-langkah bijak

Langkah Bijak Persaraan

 

Meniti hari persaraan di Malaysia: Sudahkah anda bersedia dari segi kewangan?

Persaraan bukanlah noktah kepada perjalanan hidup, sebaliknya ia adalah permulaan bab baharu — yang perlu dirancang dengan teliti agar tidak menjadi episod yang menyakitkan.

Jika anda kini berusia antara 30-an hingga 50-an, inilah masanya. Bukan untuk panik, tetapi untuk sedar. Persaraan yang aman tidak berlaku secara kebetulan. Ia bermula dengan kesedaran hari ini, diikuti tindakan berterusan demi ketenangan hari esok.

Dan apabila saat itu tiba, biarlah anda mampu berkata dengan yakin “Aku sudah bersedia.”

Share

Related Reads

Table of Contents

Scroll to Top