Pernah tak anda perhatikan orang yang bersara awal dan terfikir apa agaknya yang mereka buat, yang anda belum buat?
Bagi kebanyakan daripada kita, impian untuk bersara awal sering terasa jauh daripada realiti. Ia seolah-olah hanya tercapai oleh mereka yang berpendapatan tinggi atau bernasib baik. Namun sebenarnya, bersara awal bukanlah soal gaji besar. Ia tentang pilihan-pilihan kecil yang dibuat secara konsisten, yang perlahan-lahan membina simpanan persaraan dan membuka jalan kepada kebebasan kewangan.
Lima tabiat kewangan bijak ini sering diamalkan oleh golongan yang berjaya mencapai kebebasan kewangan. Anda juga boleh mula membinanya hari ini.
Bayar diri sendiri dahulu
Kebanyakan orang hanya menyimpan baki yang tinggal selepas berbelanja. Tetapi golongan yang bijak kewangan memilih pendekatan sebaliknya. Mereka simpan dahulu, belanja kemudian.
Bayangkan anda menerima gaji sebanyak RM4,000 sebulan. Sebaik sahaja gaji masuk, pindahkan RM400 (iaitu 10%) terus ke akaun simpanan atau akaun pelaburan anda. Baki RM3,600 itu boleh digunakan untuk bil, makanan dan keperluan lain. Yang penting, RM400 tadi sudah mula bekerja secara senyap untuk masa depan anda.
Cuba ini: Simpan sebahagian daripada gaji sebaik sahaja diterima. Bila gaji naik, naikkan juga peratusan simpanan. Contohnya, daripada 10% kepada 11%. Langkah kecil ini boleh beri kesan besar untuk masa depan kewangan anda.
Baca lanjut:Â Bayar Diri Sendiri Dahulu: Kaedah Pengurusan Kewangan Yang Perlu Anda Tahu
Amalkan gaya hidup sederhana
Hidup bersederhana bukan bermaksud berkira, tetapi bijak mengatur kewangan. Daripada menaik taraf kereta atau berbelanja untuk perkara-perkara yang tidak diperlukan, utamakanlah apa yang benar-benar penting — membina kebebasan kewangan untuk masa depan anda.
Cuba ini: Jejak perbelanjaan anda untuk mengenal pasti ke mana wang anda sebenarnya dibelanjakan. Mungkin ada langganan yang masih aktif tanpa anda sedari. Dengan sedikit pengurangan, anda boleh wujudkan lebihan untuk disimpan atau dilaburkan setiap bulan.
Urus hutang secara strategik
Tidak semua hutang itu jahat. Individu yang berjaya membina kekayaan tahu membezakan antara hutang baik dan hutang jahat.
Hutang baik ialah hutang yang membantu membina aset atau menjana pendapatan, seperti pembelian hartanah atau pembiayaan pendidikan. Hutang jahat pula boleh menjejaskan kestabilan kewangan masa depan anda, contohnya hutang kad kredit, pinjaman impulsif atau perangkap kewangan seperti “beli sekarang, bayar kemudian”.
Cuba ini:
Ingat, hutang boleh menjadi alat yang berguna atau perangkap yang merugikan, bergantung pada cara anda menguruskannya.
Jadi, jika anda sedang menanggung hutang, cari jalan untuk melangsaikannya. Fikirkan bagaimana untuk mengelakkan hutang di masa hadapan dan amalkan perbelanjaan mengikut kemampuan.
Baca juga:Â Raikan Merdeka dengan Permulaan Baru Menuju Kebebasan Kewangan
Sentiasa belajar tentang kewangan
Orang berada lazimnya mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi. Mereka tidak berhenti menimba ilmu dan sentiasa berusaha mencari jalan untuk menambah kekayaan serta melindunginya. Mereka membaca, bertanya, dan belajar daripada pengalaman orang lain. Mereka faham bahawa celik kewangan bukan sekadar satu pelajaran, tetapi satu perjalanan sepanjang hayat.
Cuba ini: Dengar podcast, baca blog kewangan peribadi, atau terokai sumber celik kewangan daripada KWSP. Mengetahui bagaimana rakyat Malaysia sebenarnya mengurus kewangan boleh membuka mata anda kepada strategi yang lebih bijak.
Semakin banyak anda belajar, semakin yakin anda membuat keputusan tentang wang sendiri.
Bina lingkungan yang menyokong matlamat kewangan
Pernah dengar pepatah, “Lingkungan kita membentuk siapa kita”? Memang ada benarnya. Orang di sekeliling kita boleh mempengaruhi tabiat, sikap dan matlamat hidup, termasuk cara kita mengurus kewangan.
Apabila anda berada dalam kalangan individu yang berbicara tentang idea, peluang dan kemajuan, anda juga akan terdorong untuk menjadi lebih baik. Bila berada dalam kelompok yang menghargai tabiat baik seperti menyimpan atau melabur, anda juga akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama.
Cuba ini: Berhubunglah dengan rakan-rakan yang turut berusaha mencapai kebebasan kewangan. Kongsi tip, bincang matlamat, dan raikan kejayaan bersama. Perjalanan kewangan terasa lebih mudah dan menyeronokkan apabila anda berkembang bersama.
Kesimpulan
Pada akhirnya, menjadi kaya bukan sekadar soal berpendapatan tinggi. Ia tentang mempunyai kecukupan.
Cukup simpanan untuk rasa selamat. Cukup ruang untuk melakukan perkara yang anda minat. Cukup ketenangan untuk menikmati hidup mengikut cara anda sendiri. Dengan membina tabiat kewangan yang bijak hari ini, anda bukan sahaja menyimpan untuk persaraan awal. Anda sedang mencipta kebebasan untuk diri sendiri, sedikit demi sedikit.
Penafian: Maklumat dalam artikel ini disediakan untuk tujuan informasi dan pendidikan sahaja. Kandungan ini merupakan pandangan penulis berdasarkan sumber umum yang tersedia.


